Wednesday, 29 August 2018



6 Tips Memulakan Perniagaan Yang Anda Mungkin Belum Terfikir Sebelum Ini

oleh Farahanis Mail pada 16 March 2018
Anda bercadang untuk memulakan perniagaan? Sudah membuat segala persiapan untuk memulakannya? Atau anda masih ragu-ragu untuk memulakannya?
Memulakan perniagaan memang satu perkara yang menyeronokkan. Hampir semua usahawan memulakan perniagaan kerana ingin tambahan pendapatan, bahasa lain “ingin duit lebih”.
Kalau niat sekadar ingin duit lebih sahaja, perniagaan yang anda ingin bina mungkin tidak pergi jauh. Cuba pasangkan niat, “Saya berniaga bukan sekadar ingin duit lebih, saya inginkan kebebasan dari segi pilihan, wang dan masa.”
Disebabkan itu, kami ingin kongsikan 6 tip yang kami rasa amat penting bagi anda yang ingin “start enjin” perniagaan. Tip ini sangat ringkas, mudah difaham dan ianya perlu ada… lagi-lagi bagi anda yang baru hendak bermula.

Tip #1: Membina Jenama Perniagaan Dengan Satu Kepakaran
KFC dikenali sebagai pakar makanan ayam goreng, Mc Donald dikenali sebagai pakar makanan burger dan Pizza Hut pula dikenali sebagai pakar dalam pembuatan pizza. Ketiga-tiga jenama ini mempunyai kepakaran berbeza.
Persamaan yang ada pada ketiga-tiga jenama gergasi ini adalah mereka hanya memiliki “satu kepakaran” sahaja. Dengan hanya memiliki satu kepakaran, ini akan memudahkan pelanggan untuk “mencari” perniagaan anda.
Jika anda sakit gigi, anda ingin jumpa doktor klinik biasa atau doktor pakar pergigian? Sudah pasti anda pilih doktor pakar pergigian. Ini membuktikan dengan hanya memiliki satu kepakaran sahaja, imej perniagaan akan kelihatan lebih “berkeyakinan” dan “profesional.”

Tip #2: Kenali Undang-Undang Perniagaan
Sebelum memulakan perniagaan, anda perlu memahami peraturan atau undang-undang yang telah termaktub di dalam perniagaan. Jika anda gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan, anda dan perniagaan boleh menghadapi hukuman.
Anda perlu kenal semua peraturan yang ada. Bak kata pepatah, “Sediakan payung sebelum hujan.” Anda perlu daftar perniagaan anda, perlu mempunyai struktur undang-undang di dalam perniagaan, sistem perakaunan kena jaga dengan teliti dan perlu mematuhi undang-undang buruh apabila mengupah pekerja. Ini semua kena jaga dengan baik.

Tip #3: Minta Bayaran Deposit
Dapatkan bayaran deposit terlebih dahulu sebelum anda memulakan kerja, ini amat penting. Anda tidak membina perniagaan atas dasar “charity”, anda membina perniagaan untuk mencari tambahan rezeki. Rezeki bukan untuk anda seorang sahaja, rezeki untuk para pekerja anda juga.
Walaupun kerja yang ingin dilakukan itu adalah kepunyaan sahabat rapat, anda tetap kena minta bayaran deposit juga. Anda tidak tahu apa yang akan jadi di masa depan. Jika anda tidak minta deposit, mungkin setelah kerja siap pelanggan memberi seribu alasan untuk “tidak” melakukan pembayaran penuh. Anda yang rugi!
Anda ada kos untuk ditanggung, jadi jangan mulakan kerja selagi anda tidak menerima pembayaran deposit. Sekurang-kurangnya deposit yang diminta mesti melebihi 50 peratus dari harga barang jualan.

Tip #4: Jangan Terima Pelanggan Kedekut
Sekiranya pelanggan baru dan berpotensi cuba meminta anda turunkan lagi harga jualan yang sudah diberi potongan harga yang sangat istimewa, jangan terima pelanggan ini.
Kebiasaan pelanggan begini akan menyusahkan perniagaan anda. Mereka akan meminta anda melakukan kerja-kerja yang tidak realistik sehingga boleh membawa kerugian kepada bisnes dari segi wang, masa dan emosi.
Ini perniagaan anda, anda mempunyai kuasa untuk menerima dan menolak pelanggan. Jangan risau menolak satu pelanggan, kerana masih ramai lagi di luar sana yang boleh bertukar menjadi pelanggan bisnes anda.

Tip# 5: Pecat Dengan Segera
Jika seseorang di dalam pasukan kerja anda tidak melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh, pecat sahaja. Ini kerana jika anda membiarkan pekerja ini masih terus bekerja seperti biasa, beliau akan menjadi beban kepada pekerja lain dan ini akan melambatkan proses kerja siap.
Simpan pekerja yang tidak bagus merupakan satu “liabiliti” kepada perniagaan, kerana anda masih membayar gaji kepada beliau walaupun beliau tidak membuat kerja.
Sebab itu, anda dicadangkan membuat “tempoh percubaan” kerja bagi pekerja baru. Tempoh percubaan ini boleh dilakukan selama 3 bulan atau 6 bulan, bergantung kepada anda. Dalam bulan ini, anda akan menilai kerja-kerja yang dilakukan oleh pekerja ini samada ianya bagus atau sebaliknya.
Jika bagus, simpan pekerja ini dan jadikan dia sebagai pekerja tetap. Jika tidak, ucapkan sahaja selamat tinggal kepada beliau.

Tip #6: Minat Dan Ilmu Perlu Seimbang
Salah satu perkara yang paling penting di dalam perniagaan adalah “minat”. Dengan adanya minat yang tinggi, anda akan lebih konsisten untuk mengembangkan perniagaan.
Ada juga yang berkata, jangan biarkan keghairahan minat mempengaruhi keputusan kerja anda. Minat akan memajukan dan mengembangkan perniagaan, manakala “ilmu” pengetahuan akan menunjukkan arah jalan agar anda tidak sesat. Minat dan ilmu perlu seimbang.

Membuat penyelidikan pasaran industri anda dan bercakap dengan pelanggan sasaran merupakan faktor-faktor penting dalam kejayaan perniagaan. Tugas ini memerlukan minat yang mendalam dan ilmu pengetahuan yang tepat. Anda juga boleh meminta bantuan pakar-pakar lain jika anda masih tidak mahir dalam hal ini.

"Salam Ukhwah, Salam Kasih Sayang"

No comments:

Post a Comment

ANAK SEMAKIN BIJAK